Penyertaan Setiap Negara Peringkat Antarabangsa Masyarakat Dunia Dalam Pertandingan Sukan Dapat Mengeratkan Hubungan Masyarakat Dunia

Penyertaan Setiap Negara Peringkat Antarabangsa Masyarakat Dunia Dalam Pertandingan Sukan Dapat Mengeratkan Hubungan Masyarakat Dunia. Berikan Pendapat Anda Tentang Pernyataan Di Atas.

Sukan telah wujud di muka bumi sejak zaman purba lagi dan merupakan salah satu aktiviti dalam kalangan masyarakat. Kini, persepsi sukan kepada masyarakat dunia telah berubah ke arah dimensi baharu. Sukan bukan sahaja dipertandingkan untuk mencipta kemenangan dan kemegahan tetapi sukan juga dijadikan sebagai perniagaan dan sumber pendapatan. Hal ini membuktikan bahawa sukan telah membuka lembaran baharu dalam bidang pekerjaan. Selain itu, sukan juga diberi nafas baharu dan menjadi tumpuan masyarakat dunia terutama bagi negara-negara yang maju. Jelaslah sejak zaman purba sukan banyak memberikan manfaat kepada kita hinggalah sekarang. Persoalannya, apakah kebaikan-kebaikan sukan kepada masyarakat dunia?

Antara maslahat sukan kepada masyarakat dunia termasuklah seluruh pemimpin dunia akan berkumpul untuk mengadakan mesyuarat bagi menjayakan sesuatu temasya sukan. Hal ini secara tidak langsung akan membentuk usaha secara kolektif tanpa mengira bangsa dan agama. Selain itu, sikap negatif seperti berprasangka terhadap orang lain dapat dihapuskan. Selain itu, pemimpin-pemimpin ini akan berbincang tentang syarat-syarat pertandingan dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan sukan tersebut. Hal ini membuktikan bahawa sukan juga dapat dijadikan instrumen perpaduan antara pucuk kepemimpinan. Selain itu, sukan juga menyebabkan masyarakat dunia berkongsi indikator yang sama, iaitu untuk menjayakan temasya sukan tersebut. Oleh itu, sukan penting untuk para pemimpin bersatu hati bagi menjayakan sesuatu temasya sukan.

Selain itu, tuan rumah yang dipilih untuk menjayakan sesuatu sukan antarabangsa perlu menyediakan prasarana sukan dan penginapan mengikut standard yang ditetapkan. Hal ini akan meningkatkan taraf ekonomi dan kualiti prasarana sesebuah negara yang menjadi tuan rumah bagi sesuatu temasya sukan. Namun begitu, jika negara terbabit tidak mempunyai kepakaran dalam bidang seperti pembinaan, negara terbabit terpaksa mendapatkan bantuan daripada negara lain yang mempunyai kepakaran yang lebih baik. Misalnya, Brazil meminta bantuan Amerika Syarikat untuk membina stadium bola sepak bertaraf dunia. Hal ini secara tidak langsung melahirkan semangat “bagai aur dengan tebing” antara negara. Oleh itu, hubungan antara masyarakat dunia menjadi lebih kukuh dan sukan akan meningkatkan ekonomi dan prasarana sesebuah negara.

Sukan antarabangsa dapat meningkatkan hubungan dagangan dua hala antara negara yang menganjurkan temasya sukan dengan negara yang mengambil bahagian dalam sesuatu temasya sukan. Hubungan dagangan dua hala ini banyak memberikan kebaikan kepada kedua-dua negara untuk meningkatkan ekonomi masing-masing. Hal ini terbukti ketika Malaysia menganjurkan perlumbaan kereta Formula Satu, enjin kenderaan dibawa masuk dan dipasarkan di negara ini oleh pengeluar-pengeluar kereta yang disegani seperti Mercedez dan Lotus. Malaysia pula mengambil peluang untuk memasarkan barangan buatan Malaysia seperti barangan elektrik ke negara berkenaan sebagai tukaran dagangan. Hal ini membuktikan bahawa sukan dapat meningkatkan hubungan dagangan dua hala antara negara yang terlibat. Hubungan dua hala ini akan mengeratkan hubungan antara kedua-dua buah negara.

Selain itu, atlet-atlet sukan antarabangsa dilatih dan dipupuk supaya bertanding dengan semangat kesukanan. Hal ini demikian kerana semangat kesukanan dapat mengeratkan ikatan silaturahim antara atlet. Selain itu, sukan juga mengetepikan sebarang prasangka sama ada dalam aspek politik atau perkauman yang boleh memberikan impak yang buruk kepada semua pihak. Hal ini terbukti apabila Bosnia dan Serbia yang sebelum ini pernah berperang dapat menjayakan Kejohanan Bola Sepak Eropah dengan semangat kesukanan yang jitu. Hal ini membuktikan bahawa sukan dapat meleraikan sesuatu persengketaan melalui semangat kesukanan bak kata pepatah “buang yang keruh, ambil yang jernih”. Oleh itu, para atlet perlu dilatih dan dipupuk supaya mempunyai semangat kesukanan yang tinggi supaya dapat menjalin hubungan yang baik dengan semua pihak.

Penyertaan pelbagai negara dalam kejohanan sukan pada peringkat antarabangsa memberikan peluang kepada atlet di seluruh dunia untuk berkenalan sesama mereka. Selain itu, mereka juga dapat bertukar-tukar pendapat berkaitan dengan sukan seperti pemakanan dan cara latihan. Sukan juga dapat menambah ilmu pengetahuan para atlet dan secara tidak langsung akan melatih mereka supaya tidak menjadi “seperti katak di bawah tempurung”. Selain itu, hubungan akan menjadi lebih erat jika ada atlet yang mengikatkan persahabatan mereka dengan ikatan perkahwinan. Sukan juga tidak mengenal warna kulit kerana sukan adalah untuk semua dan tiada diskriminasi dalam sukan. Oleh itu, sukan dapat mengeratkan hubungan sesama atlet dari berlainan negara.

Kesimpulannya, sukan mampu mengeratkan hubungan masyarakat pada peringkat antarabangsa, malah sukan dapat juga mengeratkan perpaduan kaum di dalam negara. Justeru pihak kerajaan perlu menjadikan sukan sebagai suatu budaya di negara kita dan mendedahkan kepentingan sukan dalam memperkukuh perpaduan negara. Usaha ini haruslah dilakukan secara bersepadu dan berterusan. Janganlah hanya dilakukan “seperti hangat-hangat tahi ayam”. Oleh itu, wajarlah jika kerajaan memperkenalkan sukan kepada rakyat sejak di bangku sekolah lagi. Hal ini secara tidak langsung, bukan sahaja dapat mencungkil bakat-bakat baharu dan dapat menyihatkan tubuh badan malah dapat mengeratkan hubungan masyarakat dan perpaduan antara negara.

.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s